Surat Berantai

( WASIAT UNTUK UMAT ISLAM SELURUH DUNIA )


Assalamualaikum.

Ini adalah wasiat dari penjaga makam Nabi Muhammad S.A.W. iaitu Seikh Ahmad (Saudi Arabia).

Pada Suatu Malam ketika hamba membaca Al-Quran di makam Rasulallah S.A.W. selepas membaca lalu hamba tertidur dalam tidur hamba bermimpi didatangi Rasulallah S.A.W. lalu bersabda kepada hamba dalam 60,000 orang yang meninggal dunia dizaman ini tiada seorang pun yang matinya dalam keadaan yang beriman.

a) Isteri tidak mendengar suami.
b) Orang kaya tidak lagi bertimbang rasa kepada orang miskin.
c) Orang tidak lagi berzakat dan tidak membuat kebajikan.

Oleh itu wahai Seikh Ahmad, hendaklah kamu menyebarkan kepada orang islam yakni supaya membuat kebajikan kerana hari penghabisan ( Qiamat ) akan tiba dimasa bintang terbit dari langit.Sesudah itu pintu matahari akan turun di atas kepala.

Pesan Hamba ini :

a) BERSELAWATLAH kepada junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W.
b) Bertaubatlah dengan segera sementara pintu taubat masih terbuka.
c) BERSEMBAHYANGLAH kamu sebelum kamu disembahyangkan.
d) BERZAKATLAH. Jangan tinggalkan.
e) JANGAN MENDERHAKA KEPADA IBU BAPA. Hormatilah mereka.
MENUNAIKAN FARDHU HAJI bila berkemampuan.

UNTUK MAKLUMAT

1) Seorang saudagar dari Bombay telah menerima surat ini dan beliau telah mencetak sebanyak 20 salinan dan mengirimkan kepada orang lain.Dia kemudian dianugerahi oleh Allah dengan mendapat keuntungan yang besar dalam perniagaannya.Seorang hamba Allah telah menerima surat ini tetapi tidak mengendahkannya dan menganggap wasiat ini palsu.Maka selang beberapa hari kemudian anaknya meninggal dunia.

2) Tan Sri Ghazali Jawi, bekas Menteri Besar Perak secara tidak langsung dipecat dari jawatannya kerana apabila menerima wasiat ini beliau terlupa mencetak sebanyak 20 salinan untuk disebarkan kepada orang lain tetapi beliau menyedari kesilapannya lalu beliau mencetak semula wasiat ini dan terus mengirimkannya kepada orang lain dan selang beberapa hari kemudian beliau telah dilantik menjadi Menteri Kabinet Perdana Menteri.

3) Pada tahun 1977 Tun Dato' Mustafa bekas Ketua Menteri Sabah menerima surat ini kemudian mengarahkan setiausahanya mencetak sebanyak 20 salinan dan menghantar kepada orang lain maka selang beberapa hari kemudian dia telah mendapat hadiah pertama dari loteri Kebajukan Masyarakat Timur.

4) Zulfikar Ali Bhuto telah menerima wasiat ini dan tidak percaya akan kebenarannya dan menganggap palsu lalu dibuang ke dalam tong sampah.Seminggu kemudian beliau telah dijatuyhkan hukuman pancung sampai mati.

5) Di Terengganu, seorang pekerja bengkel kenderaan telah menerima wasiat ini dari pengirim yang tidak dikenali yang datangnya dari Perak.Lalu beliau membuat cetakan sebanyak 20 salinan seperti yang dituntut.Alhamdulillah dia dianugerahkan oleh Allah seorang gadis yang berakhlak mulia sepertimana yang dituntut oleh Islam.Baginya anugerah Allah ini paling agung dan tidak ada bandingnya.

6) Di Terengganu, seorang hamba Allah telah menerima wasiat ini dari orang yang tidak dikenali lalu beliau tidak mengendahkannya.Beliau mengatakan yang ianya bohong belaka dan sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan orang yang membacanya.Beberapa hari kemudian dia telah mendapat penyakit uang ganjil dan penderitaannya amat menyedihkan.Setelah tiga minggu mendapat rawatan rapi di hospital penyakitynya masih disimpannya lalu menyuruh sepupunya mencetak 20 salinan dan diedarkan kepada orang lain.Seminggu kemudian barulah beliau sembuh sehingga sekarang.

Banyak lagi contoh-contoh orang menerima wasiat ini dan tidak mempercayainya dan tidak mengedarkannya atau menyampaikannya kepada orang lain dimana mereka mendapat malapetaka.Setelah kejadian yang menggembirakan dan menakutkan ini, anda jangan lupa mencetak 20 salinan wasiat ini dan disebarkan kepada orang lain dalam masa 90 jam dari masa anda menerima wasiat ini anda akan memperolehi sesuatu dari ALLAH YANG MAHA ESA.

***************************

Mungkin ramai diantara kita yang pernah menerima, melihat atau sekurang-kurangnya mendengar tentang kewujudan surat berantai tanpa nama pengirim seperti di atas ( yang sentiasa diubah atau ditambah kandungannya ).Surat ini biasanya banyak ditabur di masjid-masjid atau tempat-tempat awam kononnya untuk menunaikan tanggungjawab menyebarkannya sebagaimana "wasiat" di dalam surat tersebut.Amat malang sekali, dalam dunia maju sekarang ini masih ramai yang jahil tentang perkara remeh seperti ini ( tetapi mempunyai kesan buruk yang amat besar kepada akidah seseorang).

Berikut kami paparkan fatwa dari ulama tersohor Dr. Yusof Qardhawi dan juga fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai jawapan kepadapermasalahan ini.

1) Fatwa Dr. Yusof Qardhawi.

Memang ramai orang yang bertanya tentang wasiat tersebut.Dan sebenarnya kemunculan surat wasiat ini bukan saja baru-baru ini, tetapi saya telah melihatnya sejak puluhan tahun lalu.Surat tersebut dinisbatkan kepada seorang lelaki yang terkenal dengan sebutan Syeikh Ahmad, juru kunci makan Rasulullah S.A.W..

Untuk memastikan kebenaran berita yang disampaikan dalam surat tersebut, saya pernah menanyakan kepada orang-orang di Madinah dan di Hijaz.Saya mencari informasi mengenai orang yang disebut Syeikh Ahmad itu beserta aktivitinya.Dari informasi yang saya dapat, ternyata tidak ada seorang pun di Madinah yang pernah melihat dan mendengar berita mengenai Syeikh Ahmad ini.Tetapi sayangnya, wasiat yang menyedihkan itu telah tersebar luas di negara-negara umat Islam.

Wasiat tersebut dengan segala isinya tidak ada erti dan nilainya sama sekali dalam pandangan agama.Diantara isi wasiat yang diasaskan pada pendapat Syeikh Ahmad yang katanya bermimpi bertemu Nabi S.A.W. itu ialah tentang telah dekatnya hari kiamat.

Masalah berita kedekatan kiamat ini sebenarnya tidak perlu mengikut pendapat Syeikh Ahmad atau Syeikh Umar, kerana Al-Quran telah mengatakan dengan jelas :

' .... boleh jadi hari kebangkitan itu sudah dekat waktunya '. - ( Al-Ahzab : 63 )

Begitu pula Nabi S.A.W. telah bersabda :

'Aku dan kiamat diutus ( secara berdekatan ) seperti ini.Beliau ( mengatakan demikian ) sambil memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengahnya'. - ( Muttafaq 'alaih dari hadits Anas dan Sahl bin Sa'ad ).

Hal lain dari isi wasiat itu ialah bahawa kaum wanita sekarang sudah banyak yang keluar rumah, dan banyak yang telah menyimpang dari agama.Masalah ini pun sebenarnya tidak perlu mengambil sumber dari mimpi-mimpi, kerana kita sudah mempunyai kitab Allah dan sunnah Rasul yang sudah memuaskan untuk dijadikan pedoman. Allah berfirman :

" .... pada hari ini telah Ku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Ku cukupkan nikmat Ku atas kamu, dan telah Ku redhai Islam menjadi agamamu ... " - ( Al-Maa'idah : 3 )

Orang yang beranggapan bahawa Diin Islam yang telah disempurnakan Allah ini masih memerlukan keterangan yang diwasiatkan oleh orang yang tidak dikenali itu, bererti dia meragukan kesempurnaan dan kelengkapan Diinul Islam.Islam telah sempurna dan telah lengkap, tidak memerlukan wasiat apa pun.

Isi wasiat tersebut jelas memperlihatkan kebohongan dan kepalsuan wasiat tersebut.Sebab, pewasiat telah mengancam dan menakut-nakutkan orang yang tidak mahu menyebarluaskannya bahawa ia akan mendapat musibah dan kesusahan, anaknya akan mati, dan hartanya akan habis.Hal ini tidak pernah dikatakan oleh seorang manusia pun ( yang normal fikirannya ), terhadap kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.Tidak ada perintah bahawa orang yang membaca Al-Quran harus menulisnya setelah itu kemudian menyebarluaskannya kepada orang lain, dan jika tidak, akan terkena musibah.Begitu juga tidak ada perintah bahawa orang yang membaca Sahih Bukhari harus menulisnya dan menyebarluaskannya kepada khalayak ramai, sebab kalau tidak, akan ditimpa musibah.

Kalau Al-Quran dan sunnah Rasul saja tidak begitu, maka bagaimana dengan wasiat yang penuh khurafat itu?.Ini merupakan suatu yang tidak mungkin dibenarkan oleh akal muslim yang memahami Islam dengan baik dan benar.

Kemudian dalam wasiat tersebut dikatakan bahawa si fulan di negeri ini dan ini, kerana telah menyebarluaskan wasiat tersebut ia mendapat rezeki sekian puluh ribu ringgit.Semua itu merupakan khurafat dan penyesatan terhadap umat Islam dari jalan yang benar dan dari mengikuti sunnah serta peraturan Allah terhadap alam semesta.

Untuk memperoleh rezeki, ada sebab-sebabnya, ada jalan dan aturannya.Adapun bersandar kepada khayalan dan khurafat seperti dalam wasiat itu adalah merupakan usaha untuk menyesatkan dan menyelewengkan akal fikiran umat Islam.

Kita perlu menjaga dan mengawasi kaum muslimin agar tidak membenarkan atau percaya kepada perkara khurafat seperti ini dan agar tidak mempunyai tanggapan bahawa orang yang menyebarluaskan wasiat palsu tersebut akan mendapat syafaat dari Nabi S.A.W. sebagaimana yang dikatakan oleh penulis surat yang batil itu.

Sesungguhnya syafaat Nabi S.A.W. juga diperuntukkan bagi umatnya yang pernah melakukan dosa-dosa besar.Hal ini sudah disebutkan dalam hasits-hadits sahih (dan tidak perlu bersumberkan wasiat melalui mimpi).


Kami mohon kepada Allah Azza wa Jalla, semoga Dia berkenan menjadikan umat Islam mengerti tentang agama mereka.Semoga memberi petunjuk dan bimbingan kepada mereka ke jalan yang lurus, serta melindungi mereka agar tidak mempercayai berbagai khurafat, khayalan dan kebatilan.


2) Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Majlis Fatwa Kebangsaan 1978 mengesahkan bahawa surat wasiat ini ditulis oleh paderi-paderi biara Blessings Of St. Antonio, Texas, USA pada tahun 1974/75 untuk mengelirukan umat Islam.Penulis asal surat ini ialah mendiang Father Francis Jose de Villa, seorang paderi Katolik dari Argentina berketurunan Arab-Syria (bekas penganut Islam, nama asalnya Mohamed Elias Skanbeg).Dia pernah bertugas di Instituto Sacristo Convocione Reliogioso di Brindisi, Itali sebagai mubhalig Katolik antara tahun 1966 hingga 1968 di bawah Cardinal Agostino Casaroli.Father de Silva meninggal dunia pada tahun 1980 di Texas ketika berusia 54 tahun.

Menurut Allahyarham Sayyed Mohamed Raisuddin Al-Hashimi Al-Quraisy, penjaga makam Rasulallah S.A.W. di Madinah antara tahun 1967 hingga 1979, tidak ada penjaga makam bernama Syeikh Ahmad antara tahun 1881 hingga 1979.Penjaga makam di Madinah ialah :

Sayyed Turki Abu Mohamed Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisy (1881 - meninggal dunia tahun 1932), anaknya Sayyed Hashim Abu Faisal Abdul Jalil Al-Hashimi Al-Quraisy (1932- meninggal dunia tyahun 1934), adiknya Sayyed Abdul Karim Mutawwi Al-Hashimi Al-Quraisy (1934 - meninggal dunia tahun 1966), dan anak saudaranya Sayyed Mohamed Raisuddin bin Mohamed bin Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisy (1976 - meninggal dunia tahun 1979).

Bekas Menteri Besar Perak, Allahyarham Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi bertaubat dan mengucap kalimah syahadah sekali lagi di hadapan Kadi Daerah Kinta pada tahun 1976 setelah beliau mengaku pernah menerima dan mengirim surat ini kepada dua puluh orang kawannya.Peristiwa ini berlaku tidak lama sebelum beliau meninggal dunia.Bekas Kadi Daerah Kinta meminta beliau mengucap semula kerana bimbang beliau telah gugur syahasah (murtad).

Allahyarham Datuk Shafawi, Mufti Selangor mengisytiharkan bagi pihak Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa barang siapa dengan sengaja menyebarkan risalah ini adalah "melakukan syirik dan tidak mustahil jatuh murtad melainkan dia bertaubat dan menarik balik perbuatannya itu terhadap sesiapa yang telah pun dikirimkan risalah ini".(Surat Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Bil.7/7/8/I).

Keputusan ini diiktiraf oleh Majlis Raja-Raja Melayu dalam mesyuaratnya di Pekan pada 16 Oktober 1978 yang dipengerusikan oleh Almahrum Sultan Idris Shah, Perak.

Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1978, menyebarkan surta ini "termasuk dalam menyekutukan Allah S.W.T. dengan syirik yang amat besar (shirk-i-kubra) serta mempermainkan Rasulallah S.A.W. serta menyebar dengan niat tidak baik kekeliruan dan muslihat dikalangan umat Islam".Lagi pun, "surat ini menggambarkan pembohongan yang amat besar terhadap junjunggan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta ajaran Baginda kerana menggambarkan Syeikh Ahmad sebagai perawi hadits sesuda kewafatan Baginda S.A.W.".

Allahyarhan Datuk Syeikh-ul-Islam Mufti Kedah dalam Risalat Al-Aman 1983/Bil8 menyatakan, "paling kurang pun surat ini akan menimbulkan syirik kecil dan murtad secara tidak sengaja terkeluar dari Islam, serta syirik yang besar jika sengaja, maka taubatnya tidak sah melainkan dibuat dengan sesungguhnya.Adapun jika seseorang itu menyalin surat ini kepada umat Islam lain, jatuhlah hukum keatasnya mentabhligkan perkara syirik dan khurafat.Sesungguhnya ulama sependapat bahawa perbuatan ini sungguh besar syiriknya dan boleh mengakibatkan murtad walaupun tanpa disedari si pengirim".

Wassalam

Dipetik dari http://www.zaharuddin.net/

Renungan Bersama

Template by:
Free Blog Templates