Soal Jawab



WANG SEDEKAH KEMATIAN, ADAKAH RUH PERGI KE RUMAH ANAK-ANAK?


Soalan;

Ibu saya baru saja meninggal dunia,sementara bapa saya telah meninggal dunia 17 tahun lepas..ibu saya tinggal dengan adik lelaki saya yang telah berumahtangga,tapi belum mendapat anak..Apakah yang harus dibuat dengan wang sedekah tersebut?Abang saya ada mencadangkan disedekahkan wang itu dengan membelanjakannya membeli kitab alquraan kemasjid2 .Saya pula menerima wang sedekah itu dari jiran2 dan teman dan sedara mara..bolehkah saya sedekahkan wang itu atas nama ibu dan bapa saya kemasjid2 atau kesaluran2 yang lain,dan tidak menyerahkan kapada adik saya yang menjaga ibu saya,kerana kami tidak serumah.kakak saya yang tua mencadangkan supaya berbuat begitu.Boleh ke sebutkan sekali nama aruah bapa saya sekali?sedangkan wang itu diberi untuk aruah ibu saya..

2)Apakah maknanya ruh akan pergi dari rumah kita sateklah 40 hari..berkaitan sekali dengan kenduri tahlil,banyak yang mengatakan ruhnya pergi kerumah anak2 selama itu..adakah ini bidaah?Tolong terangkan ustaz,banyak yang masih keliru dalam hal ini..terimakaseh

Jawapan;

1. Jika sedekah disalurkan melalui wakil atau orang tengah, sedekah itu hendaklah disalurkan mengikut niat pemberi sedekah. Biasanya sedekah pada hari kematian bukanlah untuk si mati, akan tetapi diberikan untuk membantu keluarga si mati bagi menguruskan jenazah si mati atau sebagai tanda simpati kepada mereka atas kehilangan orang tersayang. Pada zaman Nabi s.a.w., tatkala Jaafar terkorban syahid di medan perang, Nabi s.a.w. menyuruh para sahabatnya untuk memasak makanan dan memberikan kepada keluarga Jaafar bagi mengurangkan kesedihan mereka.[1] Oleh itu, sebaiknya wang sedekah itu digunakan bagi untuk pengurusan jenazah si mati dan jika berbaki hendaklah diberikan kepada keluarga si mati tertutamanya orang yang tinggal bersama si mati dan menjaganya. Namun jika keluarga sepakat untuk menggunakan wang itu bagi disedekahkan kembali bagi pihak si mati (atau orang lain besamanya), tidaklah menjadi halangan Insya Allah. Apa yang penting perlu diingat ialah; janganlah kerana wang yang tidak seberapa itu adik-beradik bermasam muka dan tidak bertegur sapa sebagaimana biasa berlaku dalam masyarakat kita.

2. Kepercayaan bahawa ruh masih tinggal di dunia selepas mati kepercayaan tersebut bukanlah dari Islam. Ia adalah warisan Hindu lama. Dalam Islam, apabila seseorang itu meninggal ruhnya akan berpindah ke alam Barzakh iaitu alam lain dari alam dunia ini. Tahlil yang dibuat tiada kaitan dengan kepercayaan salah itu. Ia tidak lain hanyalah tawassul kita kepada Allah (dengan bacaan al-Quran, zikir, selawat dan sebagainya) untuk memohon dari Allah agar Ia mengurniakan rahmat dan keampunan untuk si mati di alam Barzakh.

Wallahu a'lam.

Nota hujung;

[1] Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abdullah bin Jaafar r.a.. (Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 1091).

READ MORE - Soal Jawab

Tiada Sial Pada Bulan Safar

Masyarakat Arab zaman jahiliah memang terkenal dengan mengerjakan amalan-amalan yang bercanggah dengan syarak. Perjalanan kehidupan seharian mereka sentiasa dibayangi oleh amalan-amalan syirik, tahyul dan khurafat.


Contohnya, jika mereka ingin memulakan sesuatu perjalanan, mereka akan melihat gerakan-gerakan sesetengah jenis binatang seperti burung mahupun busur panah yang dilepaskan sama ada ke kiri atau ke kanan.


Mereka beranggapan arah gerakan tersebut boleh mempengaruhi keburukan atau kebaikan yang mungkin dihadapi dalam perjalanan tersebut. Sekiranya pada tanggapan mereka gerakan tersebut menunjukkan alamat yang tidak baik maka mereka membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan tersebut. Perkara sebegini disebutkan tathayyur atau meramalkan sesuatu kejadian yang buruk disebabkan oleh sesuatu perkara.


Islam menyelar budaya tathayyur dan menganggap ia perbuatan yang mencemar kemurnian tauhid.Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak dan kekuasaan Allah semata-mata. Firman-Nya:


Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”. (al-Taubah: 51)


Menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa kerana sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan bintang, waktu atau masa tertentu dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya.Firman Allah s.w.t. :


Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. (al-A’raaf: 131)


Oleh itu, sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan tathayyur maka dia terjebak ke lembah kesyirikan.


Daripada Abdullah ibnu Umar r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barang siapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayrah (ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah berbuat syirik”. (riwayat Imam Ahmad, no: 6748)


Namun apa yang menyedihkan setiap kali ketibaan bulan Safar, budaya jahiliah yang diperangi oleh Islam ini seakan-akan muncul semula. Safar bermaksud kosong atau meninggalkan sesuatu tempat.


Penamaan bulan yang kedua ini sebagai Safar adalah kerana kebiasaan orang Arab meninggalkan rumah mereka pada bulan ini untuk memerangi musuh-musuh dan mereka juga suka mengembara pada bulan ini. Kebanyakan orang Arab jahiliah beranggapan terdapat kesialan pada bulan Safar ini. Ternyata pemikiran jahiliah ini masih diwarisi oleh segelintir kecil umat Islam zaman ini akibat lemahnya keimanan dalam jiwa dan kejahilan mereka terhadap ilmu tauhid.


Mereka beranggapan bulan Safar adalah bulan di mana Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia. Oleh itu banyak musibah dan bencana terjadi pada bulan Safar khususnya pada Rabu minggu terakhir.


Sesetengah umat Islam menghindarkan diri daripada bermusafir pada bulan Safar melainkan terdapat keperluan yang mendesak. Sebagai contoh, dalam kitab al-Futuhat al-Haqqaniy, penulis kitabnya memilih menahan diri keluar berjalan pada bulan ini dan menasihati semua pengikut tarekat mereka tidak meninggalkan rumah melainkan jika benar-benar perlu.


Dalam kitab tersebut dikhabarkan bahawa Sheikh tarekat mereka iaitu Abdullah Faiz Daghestani berkata: “Pada hari Rabu terakhir bulan Safar, 70,000 penderitaan (bala) akan menimpa dunia. Barang siapa yang mengekalkan adab ini yang disebut (beberapa amalan yang tertentu), dia akan dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa”.


Bagi segelintir masyarakat Melayu pula mengelak mengadakan majlis perkahwinan pada bulan Safar kerana dipercayai jodoh pasangan pengantin itu tidak kekal dan kelak akan susah untuk mendapatkan zuriat.


Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut. Kesemua ini merupakan perkara-perkara tahyul dan khurafat yang harus dibanteras sehingga ke akar umbi.


Hayatilah firman-Nya:


Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah.... (al-Taghaabun: 11)


Lantaran itu beberapa amalan bidaah dicipta sempena bulan Safar bertujuan menghindari sebarang bentuk malapetaka yang berkaitan dengan kedatangan bulan tersebut.


1) Mandi safar


Orang Melayu satu ketika dahulu mengamalkan mandi safar atau mandi beramai-ramai di sungai mahupun pantai yang dianggap sebagai satu ritual menolak bala pada bulan Safar serta menghapuskan dosa.


Orang Melayu berarak ke destinasi terpilih diiringi alunan muzik, nyanyian, jampi serapah dan alunan zikir tertentu. Setelah itu mereka membaca jampi atau menulis ayat-ayat tertentu di atas kertas lalu memasukkannya ke dalam bekas berisi air dan mandi dengannya.


Sebenarnya amalan mandi safar ini diwarisi daripada budaya Hindu. Walaupun pengamalannya semakin terhakis dalam umat Melayu, masih ada yang melakukan pembaharuan dalam upacara ini. Mereka menganjurkan penulisan ayat-ayat tertentu di atas kertas atau papan dan direndam dalam kolah ataupun tangki berisi air untuk seluruh ahli keluarga mandi dengannya.


2) Keberkatan


Syaikh Muhammad Abdussalam al-Syaqiry r.h berkata: “Orang-orang awam biasa menulis ayat-ayat tertentu tentang keselamatan di atas kertas, misalnya ayat: Salaamun ‘ala Nuuh fi ‘aalamiin. (al-Saafaat: 79)


Maksudnya, “Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam” pada hari Rabu terakhir bulan Safar, kemudian meletakkannya di dalam bekas (berisi air) untuk diminum airnya bagi mencari keberkatan kerana mereka berkeyakinan bahawa ini akan menghilangkan nasib buruk.


Ini adalah keyakinan yang sama sekali salah dan harus ditentang. Rujuk al-Sunnan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqahbi al-Adzkaar wa al-Shalawaat karya Sheikh Muhammad Abdussalam al-Syaqiry, edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah-Bidaah Yang Dianggap Sunah, Qisthi Press, Jakarta (2004), ms. 149.


Upacara yang disebut oleh beliau ini biasanya dikerjakan di masjid di antara solat Maghrib dan Isyak pada Rabu terakhir bulan Safar.


3) Solat sunat


Pada hari Rabu terakhir bulan Safar kononnya disunatkan solat sunat empat rakaat. Waktu mengerjakannya adalah setelah terbit matahari dan sebelum waktu Zuhur.


Pada setiap rakaat hendaklah dibaca surah al-Fatihah (sekali), surah al-Kautsar (17 kali), al-Ikhlas (lima kali), Surah al-Falaq dan al-Naas (sekali) dengan dikerjakan dengan hanya satu tahiyat.


Setelah selesai solat ini hendaklah membaca doa berikut: “Ya Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia, wahai zat yang kerana kemuliaan-Mu semua makhluk-Mu menjadi hina. Jauhkan aku dari kejahatan makhluk-Mu. Wahai zat yang Maha Baik, Indah dan Mulia, wahai Pemberi Nikmat dan Kemuliaan, wahai Zat yang tiada Tuhan kecuali Engkau, kasihanilah aku dengan rahmat-Mu wahai zat yang Maha Pengasih. Ya Allah dengan rahsia Hassan, saudaranya, ayah, ibu dan keturunannya, jauhkan aku dari kejahatan hari ini dan apa turun pada hari ini, wahai zat yang memenuhi segala keperluan dan penolak segala bencana. Semoga Allah menjauhkannya kerana Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Semoga selawat dan salam tetap terlimpahkan kepada Muhammad, keluarga dan seluruh sahabatnya”.


Doa ini bersumber dari Risalah Rawi al-Dzam’an fi Fadhaail al-Asyhur al-Ayyam, ms. 4. Penulis nukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003), ms. 139


Nyata tidak ada dalil yang sah menunjukkan solat serta bacaan doa tersebut disunatkan. Apatah dalam doa tersebut terdapat lafaz-lafaz tawassul yang dilarang oleh syarak iaitu menjadikan Hassan (r.a), Hussain (r.a), Ali (r.a), Fatimah (r.a) serta keturunan mereka sebagai perantara dalam berdoa.


Allah s.w.t. memerintahkan hamba-Nya berdoa secara terus kepada-Nya sebagaimana firman-Nya, Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (al-Ghaafir: 60)


4) Bacaan surah dan zikir tertentu


Dalam buku al-Futuhat al-Haqqaniy pengikut tarekat tersebut diajar amalan tertentu untuk hari Rabu terakhir bulan Safar bertujuan menolak bala. Di antara amalannya adalah membaca kalimah syahadah tiga kali, beristighfar (300 kali), membaca ayat al-Kursi dan suraf al-Fiil (tujuh kali) dan dihadiahkan kepada diri sendiri dan juga ahli keluarga.


5) Memberi sedekah


Kononnya dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah pada bulan Safar bertujuan menjauhkan diri daripada penderitaan dan nasib malang.


6) Berkorban


Terdapat juga segelintir pihak yang beranggapan dianjur mengerjakan ibadah korban pada tarikh 27 Safar.


Kesemua amalan yang dikhususkan sempena bulan Safar di atas tidak pernah diperintah oleh Rasulullah s.a.w. dan tiada seorang sahabat mahupun para al-Salafussoleh yang mengamalkannya.


Sabda Rasulullah s.a.w., Barang siapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia. (riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697)


*Oleh MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS, Penolong Naib Presiden Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad.


Sumber : http://utusan.com.my

READ MORE - Tiada Sial Pada Bulan Safar

Surat Berantai

( WASIAT UNTUK UMAT ISLAM SELURUH DUNIA )


Assalamualaikum.

Ini adalah wasiat dari penjaga makam Nabi Muhammad S.A.W. iaitu Seikh Ahmad (Saudi Arabia).

Pada Suatu Malam ketika hamba membaca Al-Quran di makam Rasulallah S.A.W. selepas membaca lalu hamba tertidur dalam tidur hamba bermimpi didatangi Rasulallah S.A.W. lalu bersabda kepada hamba dalam 60,000 orang yang meninggal dunia dizaman ini tiada seorang pun yang matinya dalam keadaan yang beriman.

a) Isteri tidak mendengar suami.
b) Orang kaya tidak lagi bertimbang rasa kepada orang miskin.
c) Orang tidak lagi berzakat dan tidak membuat kebajikan.

Oleh itu wahai Seikh Ahmad, hendaklah kamu menyebarkan kepada orang islam yakni supaya membuat kebajikan kerana hari penghabisan ( Qiamat ) akan tiba dimasa bintang terbit dari langit.Sesudah itu pintu matahari akan turun di atas kepala.

Pesan Hamba ini :

a) BERSELAWATLAH kepada junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W.
b) Bertaubatlah dengan segera sementara pintu taubat masih terbuka.
c) BERSEMBAHYANGLAH kamu sebelum kamu disembahyangkan.
d) BERZAKATLAH. Jangan tinggalkan.
e) JANGAN MENDERHAKA KEPADA IBU BAPA. Hormatilah mereka.
MENUNAIKAN FARDHU HAJI bila berkemampuan.

UNTUK MAKLUMAT

1) Seorang saudagar dari Bombay telah menerima surat ini dan beliau telah mencetak sebanyak 20 salinan dan mengirimkan kepada orang lain.Dia kemudian dianugerahi oleh Allah dengan mendapat keuntungan yang besar dalam perniagaannya.Seorang hamba Allah telah menerima surat ini tetapi tidak mengendahkannya dan menganggap wasiat ini palsu.Maka selang beberapa hari kemudian anaknya meninggal dunia.

2) Tan Sri Ghazali Jawi, bekas Menteri Besar Perak secara tidak langsung dipecat dari jawatannya kerana apabila menerima wasiat ini beliau terlupa mencetak sebanyak 20 salinan untuk disebarkan kepada orang lain tetapi beliau menyedari kesilapannya lalu beliau mencetak semula wasiat ini dan terus mengirimkannya kepada orang lain dan selang beberapa hari kemudian beliau telah dilantik menjadi Menteri Kabinet Perdana Menteri.

3) Pada tahun 1977 Tun Dato' Mustafa bekas Ketua Menteri Sabah menerima surat ini kemudian mengarahkan setiausahanya mencetak sebanyak 20 salinan dan menghantar kepada orang lain maka selang beberapa hari kemudian dia telah mendapat hadiah pertama dari loteri Kebajukan Masyarakat Timur.

4) Zulfikar Ali Bhuto telah menerima wasiat ini dan tidak percaya akan kebenarannya dan menganggap palsu lalu dibuang ke dalam tong sampah.Seminggu kemudian beliau telah dijatuyhkan hukuman pancung sampai mati.

5) Di Terengganu, seorang pekerja bengkel kenderaan telah menerima wasiat ini dari pengirim yang tidak dikenali yang datangnya dari Perak.Lalu beliau membuat cetakan sebanyak 20 salinan seperti yang dituntut.Alhamdulillah dia dianugerahkan oleh Allah seorang gadis yang berakhlak mulia sepertimana yang dituntut oleh Islam.Baginya anugerah Allah ini paling agung dan tidak ada bandingnya.

6) Di Terengganu, seorang hamba Allah telah menerima wasiat ini dari orang yang tidak dikenali lalu beliau tidak mengendahkannya.Beliau mengatakan yang ianya bohong belaka dan sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan orang yang membacanya.Beberapa hari kemudian dia telah mendapat penyakit uang ganjil dan penderitaannya amat menyedihkan.Setelah tiga minggu mendapat rawatan rapi di hospital penyakitynya masih disimpannya lalu menyuruh sepupunya mencetak 20 salinan dan diedarkan kepada orang lain.Seminggu kemudian barulah beliau sembuh sehingga sekarang.

Banyak lagi contoh-contoh orang menerima wasiat ini dan tidak mempercayainya dan tidak mengedarkannya atau menyampaikannya kepada orang lain dimana mereka mendapat malapetaka.Setelah kejadian yang menggembirakan dan menakutkan ini, anda jangan lupa mencetak 20 salinan wasiat ini dan disebarkan kepada orang lain dalam masa 90 jam dari masa anda menerima wasiat ini anda akan memperolehi sesuatu dari ALLAH YANG MAHA ESA.

***************************

Mungkin ramai diantara kita yang pernah menerima, melihat atau sekurang-kurangnya mendengar tentang kewujudan surat berantai tanpa nama pengirim seperti di atas ( yang sentiasa diubah atau ditambah kandungannya ).Surat ini biasanya banyak ditabur di masjid-masjid atau tempat-tempat awam kononnya untuk menunaikan tanggungjawab menyebarkannya sebagaimana "wasiat" di dalam surat tersebut.Amat malang sekali, dalam dunia maju sekarang ini masih ramai yang jahil tentang perkara remeh seperti ini ( tetapi mempunyai kesan buruk yang amat besar kepada akidah seseorang).

Berikut kami paparkan fatwa dari ulama tersohor Dr. Yusof Qardhawi dan juga fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai jawapan kepadapermasalahan ini.

1) Fatwa Dr. Yusof Qardhawi.

Memang ramai orang yang bertanya tentang wasiat tersebut.Dan sebenarnya kemunculan surat wasiat ini bukan saja baru-baru ini, tetapi saya telah melihatnya sejak puluhan tahun lalu.Surat tersebut dinisbatkan kepada seorang lelaki yang terkenal dengan sebutan Syeikh Ahmad, juru kunci makan Rasulullah S.A.W..

Untuk memastikan kebenaran berita yang disampaikan dalam surat tersebut, saya pernah menanyakan kepada orang-orang di Madinah dan di Hijaz.Saya mencari informasi mengenai orang yang disebut Syeikh Ahmad itu beserta aktivitinya.Dari informasi yang saya dapat, ternyata tidak ada seorang pun di Madinah yang pernah melihat dan mendengar berita mengenai Syeikh Ahmad ini.Tetapi sayangnya, wasiat yang menyedihkan itu telah tersebar luas di negara-negara umat Islam.

Wasiat tersebut dengan segala isinya tidak ada erti dan nilainya sama sekali dalam pandangan agama.Diantara isi wasiat yang diasaskan pada pendapat Syeikh Ahmad yang katanya bermimpi bertemu Nabi S.A.W. itu ialah tentang telah dekatnya hari kiamat.

Masalah berita kedekatan kiamat ini sebenarnya tidak perlu mengikut pendapat Syeikh Ahmad atau Syeikh Umar, kerana Al-Quran telah mengatakan dengan jelas :

' .... boleh jadi hari kebangkitan itu sudah dekat waktunya '. - ( Al-Ahzab : 63 )

Begitu pula Nabi S.A.W. telah bersabda :

'Aku dan kiamat diutus ( secara berdekatan ) seperti ini.Beliau ( mengatakan demikian ) sambil memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengahnya'. - ( Muttafaq 'alaih dari hadits Anas dan Sahl bin Sa'ad ).

Hal lain dari isi wasiat itu ialah bahawa kaum wanita sekarang sudah banyak yang keluar rumah, dan banyak yang telah menyimpang dari agama.Masalah ini pun sebenarnya tidak perlu mengambil sumber dari mimpi-mimpi, kerana kita sudah mempunyai kitab Allah dan sunnah Rasul yang sudah memuaskan untuk dijadikan pedoman. Allah berfirman :

" .... pada hari ini telah Ku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Ku cukupkan nikmat Ku atas kamu, dan telah Ku redhai Islam menjadi agamamu ... " - ( Al-Maa'idah : 3 )

Orang yang beranggapan bahawa Diin Islam yang telah disempurnakan Allah ini masih memerlukan keterangan yang diwasiatkan oleh orang yang tidak dikenali itu, bererti dia meragukan kesempurnaan dan kelengkapan Diinul Islam.Islam telah sempurna dan telah lengkap, tidak memerlukan wasiat apa pun.

Isi wasiat tersebut jelas memperlihatkan kebohongan dan kepalsuan wasiat tersebut.Sebab, pewasiat telah mengancam dan menakut-nakutkan orang yang tidak mahu menyebarluaskannya bahawa ia akan mendapat musibah dan kesusahan, anaknya akan mati, dan hartanya akan habis.Hal ini tidak pernah dikatakan oleh seorang manusia pun ( yang normal fikirannya ), terhadap kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.Tidak ada perintah bahawa orang yang membaca Al-Quran harus menulisnya setelah itu kemudian menyebarluaskannya kepada orang lain, dan jika tidak, akan terkena musibah.Begitu juga tidak ada perintah bahawa orang yang membaca Sahih Bukhari harus menulisnya dan menyebarluaskannya kepada khalayak ramai, sebab kalau tidak, akan ditimpa musibah.

Kalau Al-Quran dan sunnah Rasul saja tidak begitu, maka bagaimana dengan wasiat yang penuh khurafat itu?.Ini merupakan suatu yang tidak mungkin dibenarkan oleh akal muslim yang memahami Islam dengan baik dan benar.

Kemudian dalam wasiat tersebut dikatakan bahawa si fulan di negeri ini dan ini, kerana telah menyebarluaskan wasiat tersebut ia mendapat rezeki sekian puluh ribu ringgit.Semua itu merupakan khurafat dan penyesatan terhadap umat Islam dari jalan yang benar dan dari mengikuti sunnah serta peraturan Allah terhadap alam semesta.

Untuk memperoleh rezeki, ada sebab-sebabnya, ada jalan dan aturannya.Adapun bersandar kepada khayalan dan khurafat seperti dalam wasiat itu adalah merupakan usaha untuk menyesatkan dan menyelewengkan akal fikiran umat Islam.

Kita perlu menjaga dan mengawasi kaum muslimin agar tidak membenarkan atau percaya kepada perkara khurafat seperti ini dan agar tidak mempunyai tanggapan bahawa orang yang menyebarluaskan wasiat palsu tersebut akan mendapat syafaat dari Nabi S.A.W. sebagaimana yang dikatakan oleh penulis surat yang batil itu.

Sesungguhnya syafaat Nabi S.A.W. juga diperuntukkan bagi umatnya yang pernah melakukan dosa-dosa besar.Hal ini sudah disebutkan dalam hasits-hadits sahih (dan tidak perlu bersumberkan wasiat melalui mimpi).


Kami mohon kepada Allah Azza wa Jalla, semoga Dia berkenan menjadikan umat Islam mengerti tentang agama mereka.Semoga memberi petunjuk dan bimbingan kepada mereka ke jalan yang lurus, serta melindungi mereka agar tidak mempercayai berbagai khurafat, khayalan dan kebatilan.


2) Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Majlis Fatwa Kebangsaan 1978 mengesahkan bahawa surat wasiat ini ditulis oleh paderi-paderi biara Blessings Of St. Antonio, Texas, USA pada tahun 1974/75 untuk mengelirukan umat Islam.Penulis asal surat ini ialah mendiang Father Francis Jose de Villa, seorang paderi Katolik dari Argentina berketurunan Arab-Syria (bekas penganut Islam, nama asalnya Mohamed Elias Skanbeg).Dia pernah bertugas di Instituto Sacristo Convocione Reliogioso di Brindisi, Itali sebagai mubhalig Katolik antara tahun 1966 hingga 1968 di bawah Cardinal Agostino Casaroli.Father de Silva meninggal dunia pada tahun 1980 di Texas ketika berusia 54 tahun.

Menurut Allahyarham Sayyed Mohamed Raisuddin Al-Hashimi Al-Quraisy, penjaga makam Rasulallah S.A.W. di Madinah antara tahun 1967 hingga 1979, tidak ada penjaga makam bernama Syeikh Ahmad antara tahun 1881 hingga 1979.Penjaga makam di Madinah ialah :

Sayyed Turki Abu Mohamed Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisy (1881 - meninggal dunia tahun 1932), anaknya Sayyed Hashim Abu Faisal Abdul Jalil Al-Hashimi Al-Quraisy (1932- meninggal dunia tyahun 1934), adiknya Sayyed Abdul Karim Mutawwi Al-Hashimi Al-Quraisy (1934 - meninggal dunia tahun 1966), dan anak saudaranya Sayyed Mohamed Raisuddin bin Mohamed bin Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisy (1976 - meninggal dunia tahun 1979).

Bekas Menteri Besar Perak, Allahyarham Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi bertaubat dan mengucap kalimah syahadah sekali lagi di hadapan Kadi Daerah Kinta pada tahun 1976 setelah beliau mengaku pernah menerima dan mengirim surat ini kepada dua puluh orang kawannya.Peristiwa ini berlaku tidak lama sebelum beliau meninggal dunia.Bekas Kadi Daerah Kinta meminta beliau mengucap semula kerana bimbang beliau telah gugur syahasah (murtad).

Allahyarham Datuk Shafawi, Mufti Selangor mengisytiharkan bagi pihak Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa barang siapa dengan sengaja menyebarkan risalah ini adalah "melakukan syirik dan tidak mustahil jatuh murtad melainkan dia bertaubat dan menarik balik perbuatannya itu terhadap sesiapa yang telah pun dikirimkan risalah ini".(Surat Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Bil.7/7/8/I).

Keputusan ini diiktiraf oleh Majlis Raja-Raja Melayu dalam mesyuaratnya di Pekan pada 16 Oktober 1978 yang dipengerusikan oleh Almahrum Sultan Idris Shah, Perak.

Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1978, menyebarkan surta ini "termasuk dalam menyekutukan Allah S.W.T. dengan syirik yang amat besar (shirk-i-kubra) serta mempermainkan Rasulallah S.A.W. serta menyebar dengan niat tidak baik kekeliruan dan muslihat dikalangan umat Islam".Lagi pun, "surat ini menggambarkan pembohongan yang amat besar terhadap junjunggan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta ajaran Baginda kerana menggambarkan Syeikh Ahmad sebagai perawi hadits sesuda kewafatan Baginda S.A.W.".

Allahyarhan Datuk Syeikh-ul-Islam Mufti Kedah dalam Risalat Al-Aman 1983/Bil8 menyatakan, "paling kurang pun surat ini akan menimbulkan syirik kecil dan murtad secara tidak sengaja terkeluar dari Islam, serta syirik yang besar jika sengaja, maka taubatnya tidak sah melainkan dibuat dengan sesungguhnya.Adapun jika seseorang itu menyalin surat ini kepada umat Islam lain, jatuhlah hukum keatasnya mentabhligkan perkara syirik dan khurafat.Sesungguhnya ulama sependapat bahawa perbuatan ini sungguh besar syiriknya dan boleh mengakibatkan murtad walaupun tanpa disedari si pengirim".

Wassalam

Dipetik dari http://www.zaharuddin.net/

READ MORE - Surat Berantai

Hukum Tahlil Dan Kenduri Arwah.

READ MORE - Hukum Tahlil Dan Kenduri Arwah.

Renungan Bersama

Template by:
Free Blog Templates